APABILA membicarakan kebajikan golongan mualaf, yang terbayang di kotak fikiran kita ialah peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri serta beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan Islam yang bergerak aktif di negara ini.
Jika dilihat dari segi peranan, pihak-pihak di atas ini bukan sekadar memastikan kebajikan, keselamatan golongan sasaran ini terjaga tetapi turut membantu insan mualaf yang serba memerlukan itu dapat memulakan hidup baru dalam suasana tenang dan aman. Di samping, sentiasa memastikan kefahaman agama mereka itu sentiasa subur dan menebal.
Pun begitu, hakikatnya tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di baru pihak pemerintah atau NGO semata-mata. Membantu sesama manusia adalah dituntut di dalam Islam, apatah lagi, di kalangan saudara sesama Islam.
Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis daripada Nu’man bin Basyir katanya: Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang Mukmin dalam percintaan, berkasihan dan kemesraan mereka adalah seperti sebatang tubuh. Bila salah satu dari anggota merintih kesakitan, segala anggota lain akan turut sama berjaga dan demam. (riwayat Syaikhan)
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. Lebih-lebih lagi di kalangan golongan mualaf atau saudara baru.
Pertubuhan ini tidak sahaja membuat pengislaman malah pemantauan dari semasa ke semasa turut dijalankan demi memastikan hak golongan mualaf ini terjaga. Malah yang lebih diutamakan ialah pendidikan agama yang sempurna diberikan serta pada masa sama, tidak meminggirkan kebajikan mereka.
Pada Ramadan kali ini, seperti biasa bermula 1 September sehingga 27 September ini Perkim meraikan golongan mualaf menerusi program tahunannya yang dipanggil Ihya’ Ramadan.
Menurut Pengarah Programnya, Amran Abdullah, program ini bertujuan bukan sahaja merapatkan ukhuwah sesama Islam malah melatih saudara baru ini melaksanakan ibadah secara berjemaah seperti berbuka puasa, solat sunat tarawih dan bertadarus di bulan yang mulia ini.
Jika dilihat dari segi sambutannya, kata Amran memang memberangsangkan. Apa tidaknya, awal-awal dahulu, cuma sekitar 60 saudara baru yang hadir tetapi untuk majlis kali ke tujuh ini lebih kurang 200 saudara baru yang menyertainya.
Malah mereka adalah dari kalangan saudara baru yang terdiri daripada pelbagai bangsa Cina, India, Iban dan daripada tidak disisihkan penyertaan mualaf dari negara Filipina dan Nigeria.
“Pihak Perkim sentiasa memastikan pengisian yang bermanfaat dalam aktiviti yang sudah dianggap satu kemestian bagi Perkim. Antaranya seperti; tazkirah oleh penceramah yang diundang khas, setengah jam sebelum masuk waktu berbuka puasa.
“Setelah azan berkumandang, pengisian program seterusnya adalah berbuka puasa bersama saudara baru, ahli-ahli Perkim dan ahli-ahli Kelab Perkim Universiti diikuti dengan solat maghrib, isyak dan diteruskan dengan solat sunat tarawih dan diakhiri dengan moreh dan tadarus al-Quran,” kata Amran yang bersyukur program ini sentiasa mendapat sambutan semenjak dari awal penganjurannya.
Tambah beliau, di kalangan saudara baru ini juga semakin ketara semangat kerjasama yang ditunjukkan menerusi gotong-royong persiapan sebelum berbuka puasa. Malah mereka ini melakukannya secara sukarela.
Program tadarus al-Quran
Dalam suasana masih hangat melaksanakan pelbagai amal ibadat sepanjang Ramadan ini, saudara baru yang bernaung di bawah Perkim tidak terlepas daripada menguasai al-Quran malah ada di antara mereka ini mampu menguasai dengan baik bacaan al-Quran.
Pegawai di Perkim, Ustaz Mustaqim Asmugi bertanggungjawab menyemak dan memperbetulkan bacaan para peserta tadarus kali ini.
No comments:
Post a Comment