Saturday, October 25, 2008

MUSUH CARI RUANG,KESEMPATAN SEKAT ISLAM


Kewujudan musuh Islam di muka bumi ini bukanlah satu perkara baru. Ia telah bertapak dan berakar umbi sejak ratusan ribu tahun lalu sejak iblis dan syaitan mengisytiharkan penentangan mereka secara terbuka terhadap makhluk bernama manusia iaitu Nabi Adam a.s. walaupun ia adalah perintah daripada Allah yang mesti ditunaikan.







Namun keengganan makhluk perosak itu untuk tunduk kepada Adam walaupun ia perintah Allah SWT telah tercatat dalam buku sejarah sebagai permulaan episod siri penentangan dan pertembungan antara hak dan batil di muka bumi ini.

Apabila dunia semakin bertamadun, canggih dalam penemuan ilmu Sains dan Teknologi, bentuk penentangan juga menerima perubahan yang ketara. Ia tidak serupa penentangan yang pernah ditunjukkan oleh iblis ketika menentang Allah, tetapi bentuknya semakin berubah dari semasa ke semasa, yang penting penentangan itu dibuat bagi memastikan agar kekuatan Islam terhalang.

Penentangan dibuat adalah untuk menunjukkan bahawa bukannya mereka (musuh-musuh Islam) tidak tahu bahawa Islam merupakan agama yang memelopori Sains dan Teknologi, akan tetapi kerana terdapat penyakit dalam hati yang tidak mahu mengiktiraf Islam sebagai agama yang membawa kebenaran dalam segenap keperluan hidup manusia.

Sikap menentang dan benci yang meluap-luap terhadap Islam sudah berakar umbi dalam hati sanubari manusia dan tidak mahu melakukan perubahan diri menerima bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui Allah SWT.

Mereka sedar untuk mengurangkan jumlah tentera Islam dalam satu-satu peperangan bukanlah semudah yang disangka. Justeru mereka beralih bentuk dan pendekatan untuk memerangi umat Islam, mereka mencipta pelbagai bahan rekaan permainan (game) yang boleh melekakan golongan remaja terutama yang beragama Islam, menaja pelbagai bentuk sukan yang boleh dilibat oleh remaja muslim walaupun tajaan itu daripada syarikat pengeluar minuman keras.

Musuh cari peluang rosakkan al-Azhar, al-Quran, Hari Jumaat dan Masjid al-Haram

Perkara di atas pernah disebut oleh seorang tokoh ulama terkenal, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya 'Maza 'An as-Sohwat al-Islamiyyah fi 'Asr al-Hadis', di mana beliau ada menegaskan bahawa musuh-musuh Islam berusaha gigih bagi memastikan keempat-empat perkara di atas perlu dirosakkan dengan apa cara sekalipun.

Beliau mendedahkan bahawa musuh Islam menyatakan kesungguhan mereka untuk menghancurkan keempat-empat aspek di atas, bagi mereka jika keempat-empat aspek tersebut berjaya dilakukan, maka umat Islam berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Dr Abdullah beranggapan bahawa jika Universiti al-Azhar berjaya dirobohkan institusi pembelajarannya, pasti tidak akan wujud lagi sarjana, cendekiawan Muslim seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Mustafa Siba'ie dan Dr Abdul Halim Mahmud yang memiliki kekentalan jati diri, kefahaman Islam yang mendalam yang mampu mempengaruhi orang lain kepada Islam.

Ini kerana universiti berkenaan menjadi pusat pengajian antarabangsa yang menerima kehadiran dan kebanjiran graduan yang datang daripada seluruh dunia untuk mendalam ilmu-ilmu Islam, ada di antara mereka menjadi tokoh-tokoh negarawan yang berjaya seperti Presiden Maldives, Dr Abdul Qaiyum yang merupakan lulusan al-Azhar. Tidak kurang juga yang menjadi tokoh-tokoh hebat dalam gerakan Islam seperti Syeikh Saiyid Sabiq dan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Ringkasnya al-Azhar bagi mereka perlu dirobohkan, kalau tidak pun rosakkan sistem pembelajaran dan hubungan baik sedia ada terjalin di kalangan pelajar dan kakitangan universiti juga perlu dirosakkan, itulah yang telah mereka jalankan selama beberapa tahun.

Al-Quran

Al-Quran sebagai kitab panduan dan petunjuk kepada umat Islam seluruh dunia perlu dimasukkan di dalamnya unsur-unsur penyelewengan, pindaan agar ia tidak lagi menjadi rujukan dan bahan petunjuk kepada Muslim.

Ini mereka telah lakukan dengan pembiayaan jutaan dolar Amerika bagi mencetak 50,000 naskhah untuk diagihkan ke negara Somalia yang mengalami krisis kebuluran pada awal lan puluhan dahulu.

Penduduk Somalia yang kebanyakannya beragama Islam, mereka bukan sahaja diberi bantuan makanan, pada masa yang sama juga dibekalkan al-Quran yang telah dipinda ayat yang tidak diketahui mengenainya melainkan mereka yang mahir dengan al-Quran, tetapi Allah SWT tidak mahu kitab suci-Nya itu diseleweng, maka dilihamkan kepada para ulama membongkar kegiatan haram musah Islam.

Ia tidak lain adalah untuk menjauhkan orang Islam daripada kitab rujukan mereka yang bertindak sebagai pemberi hidayah daripada Allah SWT.

Hari Jumaat - Kebanyakan negara umat Islam tidak terkecuali daripada meneruskan kerja pada hari Jumaat, yang mengakibatkan ramai di kalangan muslim tidak mendapatkan sesuatu daripada penyampaian khutbah pada hari itu.

Masjid al-Haram - Rumah Allah ini juga menjadi sasaran pihak musuh kerana berjaya menyatu-padukan umat Islam seluruh khususnya ketika menjalani ibadat haji, usaha perlu dilakukan bagi merobohkan masjid berkenaan agar umat Islam terus berpecah dan tidak lagi bersatu padu. - lanh _

KERAJAAN BERFUNGSI MENJAGA KEBAJIKAN RAKYAT

Islam melarang keras tindakan kerajaan atau pihak berkuasa mencampuri urusan kenaikan harga barangan, terutama bahan keperluan harian yang menjadi kegunaan tetap rakyat.

Malah urusan itu perlu diserahkan kepada pihak-pihak yang mengendalikan keperluan berkenaan seperti syarikat atau badan-badan yang bebas daripada pengaruh anasir pihak kerajaan.

Kerajaan hanya perlu menumpukan bidang tugasnya kepada urusan pentadbiran negara/negeri dengan mengambil kira kebajikan rakyat dalam segenap aktiviti, memperbaiki sistem perundangan dengan mengelakkan daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti rasuah, nepotisme, kronisme dan sebagainya yang hanya berlegar di kalangan mereka yang terdekat, khususnya dalam pemberian tender atau projek mega.

Pihak berkuasa, pemerintah atau kerajaan hanya dibenarkan mencampuri urusan berkenaan, jika terdapat pihak tertentu yang cuba memonopoli, menyorok atau menaikkan harga barangan mengikut sesuka hati bertujuan mengaut keuntungan berlipat ganda tanpa mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung oleh pengguna, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Tanggungjawab dan peranan kerajaan dalam menangani kenaikan harga barangan amat perlu. Ia boleh dianggap sebagai orang tengah yang memiliki kuasa untuk membatalkan mana-mana tindakan syarikat atau badan tertentu yang sewenang-wenang bertindak membelakangkan kebajikan orang ramai.

Campur tangan kerajaan dalam situasi seumpama ini bagaikan membela rakyat dan menghilangkan rasa bebanan yang ditanggung mereka. Inilah kerajaan yang baik menurut pandangan Islam.

Sehubungan dengan usaha kerajaan di atas, seorang tokoh ulama masa kini yang cukup ternama, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi mengulas isu berkenaan menurut pandangan agama, ia disiarkan dalam laman web islamonline.net.

Beliau menegaskan, bahawa Islam memberikan kebebasan dalam perlakuan pemasaran barangan dengan norma-norma yang dilihat tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh memudaratkan sesuatu pihak, sama ada pembekal (peniaga) mahupun pengguna (pembeli).

Ia berasaskan satu riwayat di mana berlaku kenaikan harga barangan pada zaman pemerintahan baginda Rasulullah s.a.w., orang ramai menemui baginda dan berkata: Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu mengenai kenaikan harga barangan (pada barangan keperluan harian)? Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu Yang Maha Pemberi Rezeki, Maha Luas kurniaan-Nya, maka tidak ada orang yang boleh berlaku zalim (dalam urusan kenaikan harga barang) apa apa jua alasan yang melibatkan barangan atau tubuh badan.

Ia satu gambaran, di mana Islam melarang menaikkan harga sesuatu barangan hingga tidak mampu dibeli oleh pengguna atau menambahkan bebanan mereka kerana berpendapatan rendah, ia disifatkan sebagai satu tindakan zalim dilakukan oleh pihak peniaga.

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, ialah campur tangan kerajaan dalam menentukan kenaikan harga seperti bahan api kerana mahu mengaut keuntungan pihak tertentu. Pada masa sama ia mengarah peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

Bagaimana mereka tidak akan menaikkan harga, sedangkan semuanya ada kaitan dengan kenaikan harga minyak, peniaga yang menggunakan lori terpaksa bayar lebih daripada biasa untuk membeli diesel. Penyelesaiannya adalah kerajaan perlu belajar daripada hadis Nabi di atas bagi mengelak bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat.

ADA PADERI MEMELUK ISLAM

tafsir Al- Maidah ayat 82:ada paderi peluk Islam
oleh:

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Dan di kalangan orang Yahudi juga, yang menyihirkan Nabi s.a.w. Ertinya, mereka menggunakan pelbagai cara untuk membunuh Nabi s.a.w. termasuk melalui peperangan dan perancangan jahat yang lain termasuk sihir dan meracun Nabi s.a.w.

Golongan yang kedua adalah musyrikin termasuk penyembah berhala, penyembah api, penyembah bintang dan seumpamanya, merupakan golongan yang paling bermusuh dengan orang Islam.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan demi sesungguhnya engkau dapati juga (wahai Muhammad s.a.w.) mereka yang paling hampir kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang berkata, "Kami adalah orang-orang Nasara (Kristian), sebabnya mereka itu terdiri daripada kalangan orang alim dan ahli ibadat dan mereka itu tidak sombong." (Surah al-Maidah: 82)

Di kalangan mereka terdiri daripada orang alim yang benar, bukan orang alim yang menyeleweng.

Diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya dari Urwah bin Az-Zubair bahawa orang-orang alim Kristian telah meminda Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s.

Yang bertanggungjawab meminda Injil ini terdiri daripada empat orang termasuk Luqos, Marqos, Yuhannas dan Mettius.

Bahkan Injil dipinda sehingga menjadi beratus-ratus kitab. Ini menandakan bahawa kitab Allah itu telah diubah. Yang pertama menyeleweng isi kandungan Injil adalah seorang yang bernama Shaul yang mendakwa mendapat ilham daripada Allah dan Nabi Isa a.s.

Kemudian mereka yang menyeleweng ini berhijrah ke Eropah. Ketika itu benua Eropah dikuasai oleh Rom (Kerajaan Romawi).

Mereka berjaya mengkristiankan Raja Rom yang ketika itu menganut agama keberhalaan sesuai dengan Kristian yang menyembah Solib yang telah dipinda dan diubah itu.

Dengan perintah Raja Rom, dianjurkan satu persidangan Kristian antarabangsa, yang diadakan di sebuah pulau di Laut Mediterranean.

Dalam persidangan itu mereka mengambil keputusan mengiktiraf empat Injil sahaja iaitu Injil yang dikarang oleh Luqos, Marqos, Yuhannas dan Mettius.

Manakala yang lain diharamkan. Antara yang diharamkan adalah Injil Barnaba di mana Injil ini lebih hampir dengan Injil yang sebenar yang menyatakan Nabi Isa itu adalah Rasulullah dan hamba-Nya.

Injil ini telah dicuri dari perpustakaan Gereja Vatican, Pusat Kristian Roman Katolik terbesar di dunia yang terletak di Itali.

Seorang pekerja di gereja besar ini telah melihat di kalangan buku-buku lama yang disimpan itu, sebuah Injil bernama Barnaba lalu membacanya dan kemudian melarikan diri dari Vatican bersama Injil berkenaan.

Injil ini kemudian dibeli salah seorang Putera Mahkota Austria dan disimpan dalam Muzium Vienna sehingga sekarang dan ia juga telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan orang Kristian menganggap Injil itu sebagai kitab lama bukan mengambil pengajaran daripada apa yang terkandung di dalamnya.

Injil ini menyatakan bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah, nabi akhir zaman yang akan zahir dan inilah yang diberitahu oleh Nabi Isa a.s.

Paderi-paderi Kristian mengetahui hakikat ini. Justeru ada di antara mereka, apabila dibaca al-Quran mereka masuk Islam.

Kerana mereka mengetahui benarnya apa yang ada di dalam al-Quran. Salah seorang daripadanya adalah paderi di Mesir, apabila mendengar Surah at-Tin, dia memeluk Islam.

Surah itu bermula dengan firman Allah yang bermaksud, "Demi buah Tin dan Zaitun, Demi gunung Turi Saina' dan negeri yang Aman ini (Makkah)." (Surah at-Tin: 1-3)

Buah Tin dan Zaitun digambar sebagai negeri Palestin sebagai tempat tumbuhnya pokok-pokok tersebut, sekali gus sebagai tempat lahirnya Nabi Isa a.s.

Sementara Gunung Saina'�yang terletak di Semenanjung Sinai, merupakan tempat bermunajat Nabi Musa a.s. manakala Makkah adalah negeri tempat lahirnya Nabi Muhammad s.a.w., menujukkan hubungan ketiga-tiga orang rasul ini.

Maka paderi yang mendengar ayat ini memeluk Islam kerana mengetahui benarnya Islam.

Bahkan ada di kalanagn paderi di Amerika Syarikat dan Eropah yang menasihatkan penganut mereka supaya jangan bermusuh dengan orang Islam kerana pengikut Nabi Muhammad s.a.w. juga adalah penganut agama Samawi.

Tidak dinafikan ada di kalangan mereka yang bersikap sebaliknya. Sebenarnya orang Kristian sudah menyeleweng daripada Kristian. Dalam ajaran Kristian diharamkan berperang kerana di dalam kitab Injil (Bible), ada satu ayat yang bermaksud, "Barangsiapa menampar pipi kananmu, kamu surunglah mereka menampar pipi kirimu pula." -