Tuesday, December 2, 2008

TERUSKAN BERDOA,SEKALIPUN ZAHIRNYA SEPERTI TIDAK DIMAKBULKAN

Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.

Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): "Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Ghafir, ayat 60)

Firman Allah (mafhumnya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Dalam as-Sunnah, terdapat banyak hadis-hadis fi'li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.

Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT.

Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.

Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.

Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.

Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.

Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan.

Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai 'khalilullah' - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.

Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan.

Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta.

Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.

Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.

Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186, Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan.

Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum): "Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan."

Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: "Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya."

Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya.

Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: "Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat)."

Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.

Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.

Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta.

Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.

Mengenai soalan saudara, pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.

Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya): "Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui."

Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.

Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.

Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): "Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, "Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan."

Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya.

Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan.

Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian.

Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat. Wallahua'lam.


10 HADIAH DIDUNIA UNTUK ORANG BERTAKWA


Kehidupan orang-orang bertakwa sangat indah dan penuh keberuntungan. Di dunia lagi Allah telah janjikan pelbagai ‘hadiah’, sebagaimana digambarkan-Nya di dalam al-Quran...

1. Sentiasa mendapat petunjuk
“Mereka itulah (orang-orang bertakwa) yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (Al-Baqarah: 5)

2. Diberi penyelesaian dari masalah
“Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan diberikan kepadanya jalan keluar.” (At-Thalaq: 2)

3. Dipermudah segala urusan
“Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya segala urusannya.” (At-Thalaq: 4)

4. Mendapat rezeki dari sumber tidak terduga
“… dan memberinya (orang bertakwa) rezeki dari sumber yang tidak terduga.” (At-Thalaq: 3)

5. Dikasihi Allah (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia)
“Sesungguhnya Allah menghasihi orang-orang yang bertakwa.” (Ali Imran: 76)

6. Mendapat keberkatan dari langit dan bumi
“Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.” (Al-A’raf: 96)

7. Mendapat keselamatan, pertolongan dan perlindungan dari Allah
“Dan kami selamatkan orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Fussilat: 18)“… dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah berserta (menolong dan melindungi) orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 194)

8. Mendapat kemenangan
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan.” (An-Naba: 31)

9. Terpelihara dari tipu daya musuh
“Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu.” (Ali Imran: 120)

10. Diberikan ‘furqan’ (petunjuk untuk membezakan yang benar dan salah)
“Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan.” (Al-Anfal: 29)

HAJI DEKATKAN HAMBA KEPADA ALLAH S.W.T

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah pun selamat berangkat ke tanah suci Mekkah dan Madinah bagi menunai dan melengkapkan rukun Islam kelima, pemergian mereka membuktikan bahawa keredaan Allah, segala amal ibadat serta dosa-dosa dapat diampunkan Allah SWT bagai anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibunya.

Apabila tiba musim haji, saban tahun pengunjung Baitullah dari pelbagai ceruk dunia datang tanpa mengira pengorbanan wang ringgit walau terdiri daripada golongan yang berpendapatan sederhana atau miskin, ini tidak lain agar seluruh amalan dierima sebagai amal-amal yang soleh di sisi-Nya, Allah adalah segala-gala untuk dihadapkan ketundukan, kepatuhan hanya kepada-Nya.

Mereka datang dengan mengharungi pelbagai kesulitan dan kepayahan, sama ada kesulitan semasa sebelum berangkat, dalam perjalanan mahupun semasa berada di Tanah Suci, namun itu semua dapat diatasi dengan baik kerana matlamat mereka adalah untuk meraih keredaan Allah SWT.

Apapun, persoalan selepas mengerjakan fardu haji kurang diberi perhatian, ramai di kalangan para jemaah termasuk yang kali kedua dan ketiga masih terus melakukan perkara yang boleh menghalang haji mabrur setelah kembali ke negara masing-masing, mereka mengulangi perbuatan yang sama sebelum berangkat ke tanah suci, apabila dilihat dari satu sudut, rasa rugi terlintas di kepala kerana apa yang dilakukan semasa berada di sana bagaikan sia-sia.

Sebenarnya mereka kurang ilmu berhubung dengan amalan yang sepatutnya dilakukan selepas haji, ataupun tiada maklumat mengenai petua yang sepatutnya menjadi teras kepada amalan harian selepas bergelar haji, justeru, pada ruangan konsep agama kali ini, penulis cuba merungkai persoalan tanda penerimaan haji atau lebih dikenali dengan haji mabrur.

Perhimpunan jutaan manusia di kalangan jemaah di Padang Arafah bagaikan perhimpunan di Padang Mahsyar ketika manusia menunggu giliran amalan mereka diperhitungkan Allah, sama ada dimasukkan dalam syurga atau neraka, begitu juga ketika mengelilingi Kaabah agar merasakan kepayahan yang pernah dilalui oleh isteri Nabi Ibrahim iaitu Hajar yang berulang alik antara bukit Sofa dan Marwah dengan mendakapnya Ismail, membuktikan kecintaan mendalam terhadap Allah SWT.

Apa yang penting untuk dikongsikan di sini, apabila pulang ke tanah air, semestinya setiap jemaah lakukan perubahan diri dari sudut penampilan, cara bercakap, gaya hidup, cara berfikir, berpakaian dan lain-lain memperlihatkan kelainan sebelum menunaikan fardu haji, ia penting bagi memastikan haji yang telah terlaksana benar-benar diterima Allah sekali gus meraih haji mabrur.

Perkara-perkara yang perlu dipelihara ketika dan selepas menunaikan fardu haji : � Seseorang itu perlu merasakan bahawa hajinya diterima Allah ketika mula-mula sampai di hadapan Baitullah, memohon keampunan Allah terhadap segala dosa yang telah dilakukannya, sama ada disedari atau tidak. � Menumpukan segala perhatian terhadap pelaksanaan ibadat haji, seolah-olah memutuskan hubungan dengan isi kandungan dunia yang melalaikan, terutama ketika berdepan dengan Baitullah, di padang Arafah, memakai ihram dan lain-lain, bagaikan sedang berada di padang Mahsyar sedang menunggu giliran untuk dihisab segala amalan. � Memasang cita-cita untuk mendapatkan rahmat kasih-sayang Allah dengan hati yang penuh mengharap. � Sentiasa memelihara hubungan yang baik dengan Allah dengan reda melakukan segala suruhan-Nya dan bersedia meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya di samping memperbanyak amalan-amalan sunnat. � Beriltizam dengan wirid dan zikir harian daripada ayat-ayat al-Quran, terutamanya Ma�thurat. � Sentiasa beristighfar memohon keampunan Allah. � Sanggup untuk menangis kerana takutkan Allah, khusuk ketika solat dan terasa (berbekas hati) dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. � Bergaul dengan orang-ramai dengan baik dan membalas kejahatan mereka dengan kebaikan. � Menitik-beratkan persoalan hubungan silaturrahim di kalangan ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan prihatin kepada golongan yang susah. � Suka bersedekah kepada golongan fakir dan miskin. � Menyegerakan hajat orang-ramai serta mencari jalan menyelesaikan masalah mereka. � Mengasihi anak-anak yatim dengan menghulurkan bantuan buat mereka. � Menyembunyikan perkara baik yang dilakukan, sama ada buat diri sendiri atau orang lain serta menjauhkan diri dari terjebak kepada suka menunjuk-nunjuk (riya�), kerana ia akan menghilang rasa ikhlas kepada Allah. � Berbuat baik terhadap kedua ibu bapa dan berusaha untuk mendapatkan keredaan mereka. � Menjauhkan diri dari melakukan sifat-sifat terkeji yang menyalahi tuntutan agama, malah berusaha mempersiapkan diri dengan sifat-sifat terpuji. � Menghindar diri dari terjebak dalam perkara syubhat yang boleh membawa kepada yang haram. � Bersikap lemah-lembut dan sentiasa bersabar ketika berhadapan dengan karenah manusia yang menjadi sasaran untuk berdakwah. � Memuhasabah terhadap kekurangan diri dengan segala kebaikan yang dilakukan. � Bertambah sifat zuhud di dunia, mementing dan melebihkan akhirat, menguasai naluri, perasaan dan jiwa, bertambah takut kepada Allah adalah di antara tanda haji seseorang itu diterima di sisi-Nya. � Tidak mengulangi perbuatan yang kurang baik menurut pandangan agama seperti duduk lama berjam-jam di kedai-kedai kopi dengan berbual pada perkara yang sedikitpun tidak menguntung agama, negara dan masyarakat.

Apabila seseorang itu dapat berpegang kepada maklumat dan panduan di atas, pasti Allah tidak menghampakan permohonannya untuk meraih haji yang mabrur, Insya Allah, Amin. -

AKIDAH UMMAH KIAN TERHAKIS.KENAPA??







Akidah adalah alat terpenting dalam diri manusia yang menentukan hubungan mereka dengan Allah SWT. Tanpanya mereka tidak akan diterima di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang patuh dan taat terhadap segala titah perintah-Nya yang mampu membawa mereka menempuh hidup yang penuh dengan rahmat, keampunan daripada Allah SWT.

Apabila akidah tidak dijadikan alat terpenting dalam kehidupan manusia, maka berlakulah krisis keyakinan manusia terhadap kebenaran yang ada dalam al-Quran dan apa yang disampaikan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w., apatah lagi yang dijelaskan oleh para sahabat baginda dan para ulama� di kalangan Tabi�in selepas kewafatan para sahabat.

Ini kerana, apabila akidah tidak ada dalam diri manusia, maka segala tindakan, ungkapan kenyataan, cara hidup, cara berfikir mereka disandarkan kepada ilham akal semata-mata yang akan berfikir pada perkara yang tidak sempurna dalam hidup mereka. Justeru, lahirlah manusia yang tidak percaya kepada kebenaran Islam, lantaran beranggapan bahawa akal adalah utama yang memuktamadkan segala keputusan dalam kehidupan.

Lahirlah selepas itu, manusia-manusia yang menduakan Allah (syirik) dengan anggapan bukan untuk tujuan mensyirikkan Allah, tetapi mahu mendekatkan diri kepada-Nya melalui perantaran, sepertimana yang pernah berlaku di zaman Jahiliyyah yang dirakamkan Allah menerusia ayat 3 surah az-Zumar, maksudnya : �Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi Pelindung dan Penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan Kami kepada Allah sehampir-hampirnya."

Jadi persoalan akidah tidak boleh disandarkan kepada akala semata-mata tanpa disandarkan kepada wahyu Ilahi dalam al-Quran atau yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. bagi memelihara ketulenan akidah daripada sebarang penyelewengan, kerosakan yang mengakibatkan seseorang itu menjadi murtad, musyrik, mulhid atau apa sahaja nama yang menunjukkan mereka terkeluar daripada agama Islam.

Iman runtuh akibat tidak dibajai dengan ilmu, kefahaman dan amalan

Benarlah, bahawa keruntuhan iman dan akidah apabila tidak dibaja dan dipelihara setiap hari dengan ilmu, pembacaan al-Quran, zikir atau wirid, ia akan mendatangkan masalah kepada orang tertentu, kerana iman boleh turun dan boleh naik, masyarakat umat Islam hari lebih cenderung melihat iman mereka turun dan merundum jatuh bagaikan pasaran saham di papan utama Bursa Malaysia.

Masalah pembuangan bayi orang Islam secara terbuka seperti yang dilaporkan oleh media cetak baru-baru semakin berleluasa, pecah amanah tabung haji, penghinaan terhadap baginda Rasulullah s.a.w serta para isterinya, penganjuran konsert dengan menampilkan individu artis yang kontroversi dari dalam dan luar negara, penganjuran pelbagai majlis anugerah bintang popular dan penyanyi dengan penampilan pakaian artis wanita yang separa telanjang di bulan-bulan haji yang menganjurkan kita supaya insaf dan patuh dan terlalu banyak lagi yang tidak mampu untuk menjelaskan kesemuanya, adalah menunjukkan keruntuhan iman, harga diri, minda yang begitu cetek terhadap agama Islam itu sendiri, sedangkan Islam seperti yang diketahui umum, adalah satu-satunya agama yang diperakui oleh Allah SWT.

Justeru, para alim ulama� telah membahaskan isu berkenaan menerusi forum agama dalam laman web islamonline.net, islam-qa.com, islamweb.net dan pelbagai yang lain, ia bertujuan untuk menyelamatkan umat Islam dari menjadi mangsa keruntuhan iman yang semakin meruncing.

Walaupun terdapat larangan para alim ulama� mengenai penganjuran sesuatu konsert seperti Jom Heboh, namum seolah-olah larangan daripada mereka yang berautoriti dalam bidang keagamaan tidak dipedulikan, ini menggambarkan betapa masyarakat pada hari ini tidak mementingkan aspek agama dalam kehidupan, dan tindakan itu memudahkan mereka terpesong daripada Islam, sedangkan sifat Islam itu sendiri adalah menyelamatkan, iaitu menyelamatkan manusia daripada terjerunus ke dalam api neraka dan menyelamatkan mereka daripada disentuh api neraka.

Apakah orang Islam perasan bahawa mereka semakin jauh daripada Islam apabila terlibat dalam penganjuran atau aktiviti yang melalaikan? Sesungguhnya mereka tidak akan perasan jika tidak mahu, jarang berada dalam masjid, surau atau tempat-tempat yang membahas dan membincangkan Islam dan tuntutannya.

Kerana pengalaman mengajar kita, bahawa manusia-manusia yang banyak habiskan (buang) masa di kedai-kedai kopi tanpa ada perancangan atau agenda padat mengenai Islam, percayalah sesungguhnya mereka telah diseret oleh syaitan dan iblis untuk meniti usia tua dengan amalan-amalan yang boleh menjauhkan mereka dari syurga Allah SWT.

Punca dan faktor yang menyebabkan manusia tidak beriman

Kalau hendak dihitung satu persatu mengenai faktor yang menyebabkan manusia beragama Islam tergelincir akidah mereka daripada kebenaran al-Quran terlalu banyak, namun dalam keterbatasan perbincangan ini, penulis hanya menyenaraikan beberapa faktor penting sahaja agar dapat dikongsi sama dengan rakan-rakan pembaca, supaya kita sama-sama dapat meluruskannya sebelum dijemput Allah untuk bertemu dengan-Nya.

Antara lain :

1- Tidak memikirkan dengan waras ikatan iman yang berpanjangan serta hubungan dengan Allah SWT.

2- Tidak menjadikan contoh teladan mengenainya yang pernah ditonjolkan oleh mereka yang terdahulu daripada kita di sepanjang sejarah penentangan antara hak dan batil di kalngan para ulama�.

3- Tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu terutama kelas-kelas fardu�ain, kelas al-Quran, tafsir, hadis, program motivasi dan lain-lain yang boleh mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kepada Allah.

4- Berlakunya maksiat di tengah-tengah masyarakat yang tidak diubah dengan perkara makruf.

5- Sibuk dengan urusan keluarga untuk mencari keredaan isteri, anak-anak dan harta benda hingga tidak sanggup berkorban untuk agama.

6- Panjang cita-cita terhadap perkara dunia dan lupa jalan ke akhirat, walaupun kubur kata mari, rumah kata pergi.

7- Boros dalam perkara makan-minum, tidur yang berlebihan, berjaga malam bukan untuk beribadat, bersembang pada perkara yang sia-sia dan bergaul secara bebas antara lelaki dan perempuan.