PROGRAM LATIHAN DAKWAH PERKIM, ZIARAH & TARBIYAH DALAM BAHASA TAMIL
PERKIM Kebangsaan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Kedah, PERKIM Cawangan Kuala Muda Kedah, Pusat Bimbingan Islam (PUSBA) Negeri Kedah, Pertubuhan India Muslim Bedong dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Program Latihan Dakwah, Ziarah dan Tarbiah dalam bahasa tamil pada akhir Julai baru-baru ini bertempat di Ladang Kongsi 6, Bedong, Sungai Petani, Kedah Darul Aman dengan mengariskan satu matlamat dalam mewujudkan integrasi antara kaum di kawasan tersebut.
Program ini disertai seramai 50 orang peserta pendakwah dan urusetia di kalangan saudara baru India. Program ini diadakan bertujuan untuk melahirkan fikrah Islamiah dengan mempertingkatkan lagi kefahaman dan kesedaran agama Islam terhadap saudara Muslim dan India Muslim.
Program ini juga bertujuan menzahirkan keperibadian Muslim dalam semua aktiviti dengan masyarakat sasaran dan ia juga bertujuan untuk memantapkan keimanan di kalangan saudara Muslim India dan masyarakat India Muslim serta mewujudkan satu pendekatan dakwah yang berkesan, aktif dan sistematik.
Program ini diadakan khusus untuk saudara baru India bagi membendung gejala murtad dikalangan saudara baru khususnya masyarakat India, melahirkan pendakwah professional, mempertingkatkan lagi kefahaman agama Islam terhadap saudara baru keturunan India, meningkatkan rasa ukhuwah Islamiah di kalangan saudara baru dan mewujudkan para da’i yang dapat membantu dalam mengembangkan agama Islam secara bijaksana.
Aturcara program dipenuhi dengan Solat berjemaah, diikuti dengan kuliah selepas waktu solat dan pembentangan kertas-kertas kerja yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang berkaliber. Di antara tajuk pembentangan kertas kerja ialah “Sifat-sifat Pendakwah dan Murabbi” yang dibentangkan oleh Y. Bhg. Dr. Azizan Ahmad pensyarah kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Diikuti dengan pembentangan kertas kerja yang kedua iaitu “Metodologi Dakwah Kepada Masyarakat India” oleh Ustaz Muhammad Naim Islam Abdullah dari Pusat Bimbingan Islam (PUSBA) dan yang ketiga “Keunggulan Islam” oleh Ustaz Muhammad Ikramul Haq selaku Imam Masjid Nagore, Alor Star, Kedah. Di penghujung program ini diadakan pula ceramah yang bertajuk “Dakwah Sebagai Bekalan Akhirat” disampaikan oleh Azmi Bahari dari Maahad Tarbiah Islamiah.
Para pendakwah telah di bawa menziarahi ke rumah warga emas Sri Kenangan, Bedong, Kedah untuk meningkatkan lagi rasa ukhuwah Islamiah di antara saudara Muslim India dan 200 orang-orang tua. Tuan Haji Abdul Hanif Harun selaku Pengarah Dakwah PERKIM Kebangsaan turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada wakil Rumah Sri Kenangan.
Para pendakwah juga di bawa menziarah ke 12 rumah saudara baru India di sekitar Bedong dan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan keperluan harian. Mereka telah menunjukkan minat dan komitmen yang baik di dalam penziarahan yang kami dijalankan. Jamuan makan malam untuk penduduk saudara baru India selepas ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ikramul Haq di Madrasah Jannatul Firdaus, Bedong.
Para pendakwah diberi kesempatan menziarah dan menyampaikan dakwah kepada saudara muslim dan India Muslim di Ladang Kongsi 6, Bedong sambil menyampaikan sumbangan beras kepada penduduk Ladang Kongsi 6 Bedong dan mereka dijamu dengan jamuan makan malam yang telah disediakan oleh pendakwah dan penduduk setempat.
Program ini telah memberi pelbagai pengisian ilmu dan pengalaman dengan menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik.
Majlis Perasmian Penutup Program Latihan Dakwah PERKIM, Ziarah dan Tarbiyah Dalam Bahasa Tamil ini telah disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua PERKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ariffin Suhaimi.

No comments:
Post a Comment